23 Nov 2010

Sehari Dalami Ilmu Penulisan Cerpen

SHAH ALAM – Bengkel Sehari Penulisan Cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Perbadanan Perpustakaan Awan Selangor (PPAS) di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, berjaya mencungkil bakat baru dalam kalangan remaja dan dewasa pelbagai kaum.
.
Bengkel berkenaan yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada 21 November 2010 nyata memberi peluang kepada peserta menimba ilmu penulisan cerpen daripada Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB yang juga penulis prolifik dalam dunia sastera Malaysia.
.
Peserta diberikan panduan lengkap meliputi aspek unsur-unsur sastera, unsur-unsur cerpen, cara mendapatkan idea, teknik mengolah cerpen, format manuskrip, hak cipta, penerbitan, etika penulisan dan pelbagai aspek berkaitan penulisan cerpen bermutu.
.
Kebanyakan peserta yang mengikuti bengkel sehari itu memuji usaha Kavyan dan PPAS mengadakan program ilmu seperti ini yang penuh manfaat.
.
Pegawai swasta, Muniswaran Errisson yang teruja sepanjang mengikuti bengkel berkenaan berharap supaya program sedemikian diadakan lebih kerap pada masa depan.
.
“Bengkel ini membuatkan saya yakin untuk cuba menulis karya Bahasa Malaysia supaya dapat dibaca oleh khalayak pelbagai kaum di negara ini,” katanya yang pernah menulis karya Bahasa Tamil dan kini mahu cuba menulis cerpen Bahasa Malaysia.
.
“Kalau tidak menjadi penulis ternama pun sekurang-kurangnya karangan SPM saya akan lebih menarik dan bermutu,” kata Chai Jee Woon, pelajar dari Kepong yang kini berkeyakinan tinggi untuk cuba menulis cerpen.
.
“Pengalaman yang saya peroleh semasa mengikuti bengkel ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran penulisan dalam peperiksaan kelak,” kata kawannya, Khaw Tze Yin.
.
Setiausaha Kavyan, Prabhawathy Govindarajoo mengakui bahawa jumlah peserta dihadkan supaya pembimbing boleh memberi tumpuan kepada setiap peserta.
.
“Walaupun jumlah peserta tidak ramai, saya rasa bengkel ini berjaya mencapai objektif iaitu memberi bimbingan intensif kepada mereka yang benar-benar berminat menulis cerpen berkualiti,” katanya.
.
“Selepas menghadiri bengkel ini, saya sedar bahawa bukanlah sukar untuk menghasilkan cerpen bermutu jika kita tahu caranya serta mendapat bimbingan daripada penulis pakar,” kata Jasmine Koh Jia Min, seorang pelajar kolej.
.
Devishi Prabha Sankari mendapati program ini menarik kerana peserta mendapat ilmu penulisan yang berguna untuk menulis karangan di sekolah dan juga teknik menulis cerpen untuk akhbar dan majalah.
.
“Rasa sangat beruntung kerana berpeluang menyertai bengkel ini. Pembimbing tidak kedekut ilmu dan peserta mendapat banyak maklumat berguna. Semoga ada lagi bengkel seperti ini,” kata Jason Koh Jia Cheng, seorang pelajar.
.
Kavyan aktif mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya untuk peserta pelbagai kaum dan peringkat umur sejak diasaskan pada Ogos 1999.
.
Selain bengkel penulisan cerpen, Kavyan juga mengendalikan bengkel penulisan makalah, Bengkel Cereka UPSR, bengkel penghayatan sastera Komsas dan bengkel penulisan berita.
.
Kavyan mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records melalui acara Baca Cerpen Kavyan pada 2003, selain menerima Anugerah Budayawan Selangor daripada Kerajaan Negeri pada 2005.
...
(Sinar Harian edisi Selangor & KL, 23 November 2010)

No comments: