16 Dec 2013

Jangan Hapuskan Kampung Chetti


Pada 15 Disember 2013, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengadakan Kunjungan Perpaduan Kavyan ke Kampung Chetti di Gajah Berang, Melaka.
 
Kunjungan ini adalah sebagai susulan kepada beberapa kunjungan sebelum ini yang bertujuan menghayati warisan kaum Chetti yang amat unik dan seharusnya menjadi kebanggaan Malaysia. [VIDEO TARIAN SATU] [VIDEO TARIAN DUA]
 
Walau bagaimanapun, pada kali ini, Kavyan dikejutkan dengan berita projek pembangunan yang sudah dimulakan di kawasan Lot 93 yang terletak di tengah-tengah perkampungan ini.
 
Kampung Chetti sudah wujud sejak tahun 1414 – iaitu jauh sebelum kedatangan Portugis. Malah, kampung ini serta para penduduknya berjaya mempertahankan hak, identiti dan maruah walaupun negara pernah dijajah Belanda, British dan Jepun.
 
Malangnya, kini pembinaan dua blok kondominium 22 tingkat, hotel 12 tingkat dan tempat letak kereta 6 ringkat sudah diluluskan Kerajaan Negeri Melaka di atas tanah Lot 93.
 
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (Mei 2013), Ketua Menteri waktu itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilaporkan mengarahkan projek pembinaan itu dihentikan. Akan tetapi, kini projek itu diteruskan walaupun mendapat bantahan penduduk Kampung Chetti.
 
Pihak Kavyan diberikan taklimat lengkap mengenai perkara ini oleh Yang DiPertua dan AJK Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka pada 15 Disember 2013.
 
Kavyan yang menjalankan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara sejak diasaskan pada Ogos 1999 merakamkan rasa kecewa dan melahirkan bantahan terhadap sebarang projek yang boleh menjejaskan kedudukan Kampung Chetti yang sudah diwartakan sebagai Perkampungan Warisan.
 
Menurut laporan media, Pemuda MIC segera bangkit “berjuang” apabila candi Lembah Bujang di Kedah dirobohkan baru-baru ini. Dalam kes Kampung Chetti pula, Presiden dan Timbalan Presiden MIC sudah ditemui wakil penduduk tetapi tiada sebarang reaksi positif.
 
Sekiranya perlu, Kavyan mencadangkan wakil Pertubuhan Pelajaran, Sains dan kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) dipanggil untuk membuat tinjauan serta mengemukakan saranan dan laporan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Ketua Menteri, Datuk Wira Idris Harun.
 
Tambahan pula, Kampung Chetti mendapat pengiktirafan sebagai Perkampungan Warisan dan tentu sahaja ada enekmen yang menghalang pembinaan bangunan tinggi di sebelahnya.
 
Tinjauan Kavyan mendapati bahawa beberapa kuil lama di Kampung Chetti yang dibina menggunakan batu kapur (limestone) berdepan masalah besar berikutan projek pembinaan ini.
 
Misalnya, Kuil Sri Anggala Parameswari yang digazetkan sebagai Warisan Negara terletak sekitar 300 meter dari tapak pembinaan; Kuil Sri Kailasanar (sekitar 400 meter) dan Kuil Sri Muthu Mariamman (100 meter).
 
Harapan dan gesaan Kavyan adalah supaya cadangan pembinaan di Lot 93 dihentikan segera. Rundingan patut diadakan dengan Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka mengenai cadangan tanah Lot 93 digazetkan sebagai sebahagian daripada Kampung Chetti.
 
Sambutan “Ponggal” (pesta menuai) secara besar-besaran bakal berlangsung di Kampung Chetti pada pertengahan Januari 2014. Semoga akan ada berita baik daripada pihak berkuasa sebelum tarikh itu.

 
Biarlah insiden Lembah Bujang menjadi pengajaran kepada kita supaya lebih bertanggungjawab dalam memelihara dan memulihara warisan negara. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
 
TERKINI: Sesi taklimat khas bagi media, NGO, pencinta budaya/sejarah dan warga prihatin dijadualkan di Kampung Chetti, Melaka pada 29 Disember 2013 (Ahad) - MAKLUMAT LANJUT DI SINI.
 
 
[Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB di Shah Alam pada 16 Disember 2013 dan disiarkan di Projek Dialog (16 Disember 2013), The Malaysian Insider (16 Disember 2013), Free Malaysia Today (17 Disember 2013), Kaigal (17 Disember 2013), Tamil Malar (19 Disember 2013) dan Malaysiakini (23 Disember 2013).]
 
BAHAN BERKAITAN: “Masyarakat Chetti yang Dilupakan” (Dewan Budaya, Mac 2007) - “Wajah Malaysia dalam Budaya Chetti” (Dewan Budaya, Mac 2007) - “Chetti yang Belum Diakui Bumiputera” (The Malaysian Insider, 7 November 2011) – “Selepas Lembah Bujang, Kampung Chetti pula?” (The Malaysian Insider, 16 Disember 2013) - Kenyataan Media Hindraf - Solidariti Kampung Chetti - Jangan Biar Kampung Chetti Hilang - Selamatkan Kampung Chetti - Call Unesco in to Save Kampung Chetti.

No comments: