12 May 2017

Keputusan Pertandingan Menulis Sajak Bahasa Malaysia Bertema Hinduisme


Berikut laporan panel juri yang melakukan penilaian terhadap 26 buah sajak yang diterima bagi Pertandingan Menulis Sajak Bahasa Malaysia Bertema Hinduisme.

Penilaian dan pemarkahan dilakukan oleh panel juri yang diketuai Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani). Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) selaku penganjur dan Amir Muhammad selaku penaja hadiah memutuskan bahawa keputusan panel juri adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.

Laporan Ketua Panel Juri adalah seperti berikut:

Terdapat 26 buah puisi moden (sajak) diterima untuk Pertandingan Menulis Sajak Bahasa Malaysia Bertema Hinduisme sehingga tarikh tutup pada 30 April 2017. Maklumat diri peserta tidak dinyatakan pada manuskrip puisi yang diserahkan kepada juri. Panel juri mendapati 15 buah puisi melepasi peringkat saringan awal sebagai puisi yang baik.

Panel juri menolak puisi-puisi yang terlalu banyak memuatkan elemen Hinduisme, atau hanya menabur terma Hinduisme sehingga melimpah dan menenggelamkan mesej. Sesebuah puisi yang ingin menyampaikan mesej agama tidak seharusnya terlalu bersifat mengajar, dan mengasak propaganda.

Terdapat juga puisi yang elemen Hinduismenya sama sekali tidak jelas atau kurang diketahui objektif/mesejnya. Sementara itu, panel juri memutuskan bahawa puisi-puisi yang terlalu langsung dan mengandungi retorik juga mengurang atau mencairkan nilai puitisnya.

Seterusnya, 15 buah puisi yang telah disaring dilihat pula kesesuaian diksi yang digunakan, penggunaan kiasan dan unsur sastera yang sedia ada, selain kemampuan puisi berkenaan menjentik emosi. Sesebuah puisi haruslah mempunyai kemampuan untuk memagut rasa pembaca. Dalam hal ini, terdapat beberapa puisi yang ejaannya salah, maka panel juri mengambil keputusan supaya puisi-puisi berkenaan diketepikan.

Akhirnya, panel juri mencadangkan puisi berjudul Tiga diberi penghormatan sebagai antara puisi yang terbaik. Panel juri mendapati elemen Hinduisme yang diketengahkan tidak berlebihan. Puisi ini juga memiliki bentuk sebagai sebuah puisi moden (sajak), dengan mesej yang berfokus. Meskipun diksinya sederhana tetapi ia berimbang. Ia juga mempunyai nilai yang baik, dan aspek misteri yang diperlukan dalam sesebuah puisi.

Sebuah lagi puisi yang diputuskan oleh panel juri sebagai tiga terbaik ialah puisi dengan judul Maka Kau Kubentuk yang mana ia menganjurkan elemen Hinduisme yang juga tidak berlebihan. Puisi ini ternyata fokus dengan memberi tumpuan kepada ajaran agama Hindu yang paling sentral, iaitu penggubahan berhala. Meskipun ia kurang puitis dan agak langsung, tetapi bentuk sebagai sebuah puisi moden telah dipertahankan.

Puisi ketiga yang menurut panel juri wajar diberi tempat tiga terbaik ialah puisi berjudul Cerita Muruga. Ia memiliki elemen Hinduisme yang wajar. Meskipun gayanya agak langsung, tetapi ia masih dapat dikategori sebagai puisi pekik (puisi untuk deklamasi). Oleh kerana ia mempunyai naratif yang agak lucu, ia menjadikan bentuk karya sangat menarik.

Puisi-puisi lain yang turut mendapat markah yang tinggi dan layak menerima hadiah saguhati adalah Sirna Dalam Samsara yang mana elemen Hinduismenya tidak dipaksa, fokus dengan temanya, dan mesej yang berimbang. Demikian juga puisi Karma Bima Sakti yang mana elemen Hinduismenya tidak keterlaluan, diberi fokus dan mesejnya pula seimbang.

Sebuah puisi lain yang memikat adalah Kami Yang Bergelar Penganut Hindu. Terdapat elemen Hinduisme yang diperlukan dalam puisi ini, sementara bahasanya pula sederhana dan tidak dipaksa-paksa. Satu hal yang memikat pada puisi ini ialah pengarang menggunakan bentuk syair (genre puisi Islam), secara sedar atau tidak sedar.


[Sila klik judul sajak untuk membaca enam sajak berkenaan.]

Pada pandangan panel juri, adalah satu hal yang sungguh menggembirakan apabila puisi Melayu tidak lagi dihadkan sebagai wahana dakwah agama Islam. Puisi Bahasa Malaysia (atau digunakan oleh sebahagian orang sebagai bahasa Melayu) tidak seharusnya terkurung dan terikat dengan satu-satu etnik atau penganut agama.

Bahasa adalah milik mereka yang menguasainya, dan tidak wajar diberi ikat tafsir politik. Sesungguhnya sebelum kedatangan Islam, orang Melayu menggunakan bahasa sedia ada di rantau Nusantara untuk mengajarkan agama pra-Islam, iaitu Hindu dan Buddha. [Baca juga - Mengenang Melayu Buddha]

Atas dasar ini, panel juri berasa gembira atas penganjuran pertandingan seumpama ini, serta berharap ia dapat diteruskan. [Baca juga - Penyajak Islam Menang Puisi Hinduisme] [Baca juga - Malay Poetry on Hinduism] [Baca juga - Penyajak Berbilang Kaum Menang] [Baca juga - Puisi Melayu Bertema Hinduisme] [Baca juga - Apa Salahnya Tulis Sajak Hinduisme?]

Keputusan muktamad Pertandingan Menulis Sajak Bahasa Malaysia Bertema Hinduisme adalah seperti berikut:

Hadiah Utama:

Tiga” – Mohd Faiz Nazim bin Baidilleh (Iz Baidilleh)
Maka Kau Kubentuk” – T. Viveganandan
Cerita Muruga” – Lee Chen Kang

Setiap sajak di atas menerima hadiah RM800 (tunai)

Hadiah Saguhati:

Sirna Dalam Samsara” – Muhammad Fareed bin Isa
Karma Bima Sakti” – Muhammad Ruzaiman bin Ahmad
Kami Yang Bergelar Penganut Hindu” – Renganathan a/l Palanisamy

Setiap sajak di atas menerima hadiah RM160 (tunai)

Tahniah kepada para penerima hadiah, dan terima kasih kepada setiap peserta yang mengambil bahagian. Keputusan panel juri adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.

Catatan: Para pemenang diminta menghubungi infokavyan@yahoo.com.my dan mengemukakan nombor akaun bank untuk membolehkan hadiah wang tunai dimasukkan ke akaun dengan kadar segera.